Header Ads

ads header

Flash News

Dulu panjat pokok tampal poster, sekarang MB Terengganu


MARANG: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memohon semua pihak menegur, membantu dan membimbingnya jika tersilap dalam melaksanakan amanah memimpin negeri.

"Matlamat kita bertemu dengan Allah dalam keadaan kita reda kepada Allah dan begitulah Allah reda dengan kita. Saya sendiri datang sebagai orang kampung.

"Saya tidak pernah terfikir akan diberi amanah tersangat berat ini kerana pernah panjat pokok tampal poster, duduk di belakang tempat program buat air kepada pemimpin yang bermesyuarat.

"Saya pernah menjadi setiausaha cawangan parti di negeri yang PAS tidak kuat, sebab itulah bimbingan dan panduan daripada semua sangat-sangat diperlukan," katanya dalam ucapan sulungnya selepas Kuliah Dhuha Masjid Rusila di sini, hari ini.

Beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu yang baharu malam tadi.

Kuliah disampaikan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bermula jam 9 pagi.

Dr Ahmad Samsuri, 48, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas mendapat 13,851 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, yang meraih 7,823 undi dan calon PKR, Zarawi Sulong (729 undi).

Ahmad Shamsuri adalah Setiausaha Politik Presiden PAS sejak 2008 dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, selain bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa.

Beliau berkata, jawatan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Negara, ADUN dan ketua parti di pelbagai peringkat adalah amanah berat yang tidak mampu dipikul tanpa kerjasama dan bantuan semua.

"Kemenangan ini adalah langkah pertama, langkah yang lebih berat dan lebih besar adalah untuk mengisi kemenangan itu.

"Kita harus letak strategi, cara, kaedah yang sesuai dengan amanah yang diperintahkan Allah dan dengan itu ada beberapa perkara yang ingin dilaksanakan selain memenuhi manifesto PAS yang dirangka," katanya.

Ahmad Shamsuri berkata, perkara pertama akan dilaksanakan adalah membina hidup rakyat dengan membangun jati diri, keimanan pemimpin dan rakyat melalui pendekatan mengamalkan agama dalam kehidupan.

Katanya, yang kedua adalah berkhidmat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan latar belakang berkonsepkan adil untuk semua.

"Perkara ketiga yang mahu dilaksanakan ialah ingin mencari jalan penyelesaian atas kelemahan salah urus pentadbiran lalu.

"Keempat ialah perkongsian ekonomi dengan rakyat kerana ekonomi yang dijana kerajaan dengan pelbagai cara sekiranya kita tidak atur dengan berkesan, ia tidak akan sampai kepada rakyat.

"Kemudiannya, kita ingin membawa Terengganu sebagai model yang bersih, maju dan berkat serta sejahtera.

"Akhirnya, kita akan terus memperjuangkan mendapatkan kembali royalti minyak Terengganu dan hasil daripada telaga minyak Bertam yang ditiadakan daripada kewangan kerajaan negeri," katanya. - Berita Harian



......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

1 ulasan:

  1. Adaptasikan kerajaan teknokrat di Kelantan & Trengganu

    BalasPadam