Header Ads

ads header

Flash News

PAS, Harapan akui ditawar bentuk kerajaan perpaduan di Perlis


KANGAR: PAS dan HARAPAN hari ini mengaku ada menerima tawaran daripada sekumpulan Adun Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan perpaduan di Perlis.

Pesuruhjaya PAS Perlis dan Adun Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata beliau dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, ditawarkan untuk menyertai kumpulan itu sehari selepas pilihan raya berakhir.

Bagaimanapun, Shukri berkata mereka tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan oleh kumpulan tersebut, memandangkan ia tidak akan stabil kerana sesetengah Adun BN masih akan kekal dengan BN, sementara yang lain sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Sukar untuk mentadbir urus negeri jika masih ada pembangkang, terdiri daripada 3 gabungan yang tidak berkongsi haluan sama.

“Kerajaan perpaduan tanpa pembangkang sememangnya dapat mentadbir negeri dengan lebih baik. Semua wakil rakyat di Perlis perlu bersatu jika kita mahu membentuk kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri kenduri kesyukuran hari ini.

Shukri berkata 3 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), iaitu Adun Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan, juga menerima tawaran sama dari kumpulan tersebut.

Satu mesyuarat diadakan antara semua Adun PAS, PH, dan BN tetapi gagal mencapai kata putus, tambah Shukri.

Adun Kuala Perlis, Noor Azam Karap dari PKR, mengesahkan ada menerima tawaran itu dan beliau dihubungi sehari selepas pilihan raya dengan cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Azam juga ada menemui kumpulan tersebut pada hari sama, tetapi mereka tidak membincangkan apa-apa dan tidak mencapai kata putus.

“Pada petang itu, saya menerima satu lagi panggilan berkenaan cadangan membentuk kerajaan perpaduan. Saya terus menolak,” katanya.

Azam berkata Adun Indera Kayangan Gan Ay Ling turut dihubungi berkenaan idea itu.

Tawaran itu susulan Perlis satu-satunya negeri yang masih belum ada menteri besar yang mengangkat sumpah, walaupun BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN, memberikan mereka 2/3 majoriti untuk membentuk kerajaan negeri di situ.

Sebelum ini, Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan Adun Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim menjadi menteri besar Perlis. Ismail ialah adik kepada Shahidan.

Bagaimanapun, kemudian dilaporkan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, yang bertanding di Bintong dan menang, tidak tahu berkenaan cadangan itu.


......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

1 ulasan:

  1. PH adalah kerajaan perpaduan, berpadu parti dan parti2. Itupun sudah mula menampakkan perbedaan kepuasan dalam beberapa segi. Kalau perpaduan dibentuk oleh individu2 yang mencari padang rumput lebih subur, tahap kepuasan akan lebih sukar ditemui. Lupakan saja.

    BalasPadam