Header Ads

ads header

Flash News

PM Anwar Ibrahim Di Bawah De Facto PM, Mahathir Mohamad


"You have to lead. You should be sensitive to what your followers think. But if you do exactly what they want, you're not a leader". Demikian ungkapan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti yang tercatat di dalam buku Malaysian Politics Under Mahathir.


Tatkala penyokong penyokong Anwar Ibrahim saban hari mewiridkan Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri setelah memegangnya buat sementara waktu sehingga Anwar Ibrahim dibebaskan, dan kemudiannya Mahathir akan duduk di kerusi belakang dalam tampuk pemerintahan Anwar atau sekadar duduk memerhati tanpa sebarang campur tangan, Jabatan Perdana Menteri hari ini menyatakan akan berlaku sedikit kelewatan berhubung pembebasan Anwar.

Pembebasan Anwar yang dikhabarkan sepatutnya berlangsung hari ini (Selasa) terpaksa ditangguhkan dan Lembaga Pengampunan hanya akan bersidang pada esok hari (Rabu). Khabar ini tidaklah sepatutnya menjadi satu kejutan buat yang telah lama memerhati pergerakan bidak bidak catur politik Mahathir sekurang kurangnya seawal lima tahun lepas, akan tetapi ia juga bukanlah suatu yang signifikan untuk diresahkan. Apa yang dilakukan Mahathir buat masa ini hanyalah membeli masa demi mengukuhkan kedudukannya, sedang masanya kian suntuk.

Mahathir telahpun menggerakkan bidak pertamanya di atas papan catur perebutan takhta istana kubah hijau Putrajaya seawal penghujung tahun 2015, dengan menyuarakan hasratnya untuk menubuhkan suatu Majlis Penasihat atau 'Council of Elders' yang berperanan untuk menasihati Perdana Menteri Najib Razak dalam urusan pentadbiran kerajaan. Langkah Mahathir itu mendapat tentangan banyak pihak ketika itu, antaranya Dr Abdul Aziz Bari yang kini merupakan ADUN Tebing Tinggi dari parti DAP. Antara kritikan Dr Aziz Bari adalah tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Negara, kerana anggota Council of Elders itu bukanlah dilantik dari kalangan ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya. Ia ibarat "tikus membaiki labu" katanya, disamping mengingatkan bahawa Mahathir "had a habit of tampering the system".

Antaranya pada tahun 1982, Mahathir telah melantik Speaker Dewan Rakyat bukan dari kalangan ahli parlimen yang dipilih rakyat, iaitu Tun Zahir Ismail, yang merupakan salah seorang anggota tribunal ditubuhkan Mahathir untuk memecat Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara pada tahun 1988. Selain itu Mahathir juga telah menghentikan amalan sidang Parlimen haruslah dihadiri oleh Peguam Negara untuk menjawab pertanyaan pertanyaan ahli parlimen. Tindakan tindakan Mahathir ini telah melemahkan amalan semak dan imbang (check and balance) yang telah wujud sejak sekian lama.

Maka adalah tidak menghairankan apabila setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 7, Mahathir mengisytiharkan penubuhan Council of Elders yang terdiri daripada penyokongnya atau mereka yang pernah dilantik olehnya untuk mengisi jawatan penting sepanjang pemerintahannya. Apakah peranan Council of Elders ini yang dianggotai oleh individu individu yang tidak dipilih melalui pilihanraya oleh rakyat akan tetapi ditabalkan sendiri oleh Mahathir? Mengapa tidak kedengaran lagi suara Aziz Bari dan pemimpin pemimpin lain menentang penubuhannya? Tindakan Mahathir ini, disamping melewatkan perlantikan penuh jemaah kabinetnya tiada lain melainkan strategi Mahathir untuk memastikan gerak bidak bidak caturnya yang seterusnya akan mampu mengatasi gerak percaturan Anwar yang akan dibebaskan tidak lama lagi.

Mahathir sedar sekiranya dia tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim setelah Anwar dibebaskan, penyokong penyokong Anwar akan bertindak menentangnya dan ini sangat tidak diingini olehnya. Maka itu Mahathir telah menggerakkan bidak caturnya yang kedua pada awal Februari lalu dengan mengisytiharkan yang dia akan memegang jawatan Perdana Menteri selama 2 tahun sebelum meletakkan jawatan untuk kali yang kedua. Mahathir memberi alasan bahawa dia memerlukan 2 tahun itu untuk memperbetulkan segala onar yang telah dibuat oleh Najib Razak. Akan tetapi hakikatnya, Mahathir akan menggunakan sepenuhnya 2 tahun itu untuk mengukuhkan kedudukannya dan melemahkan penentangnya, suatu permainan yang sangat mahir dimainkan oleh Mahathir Bin Mohamad.

2 tahun adalah tempoh yang cukup buat Mahathir untuk mengatur segala langkahnya. Jika sebelum ini Mahathir hanya memerlukan tempoh kurang 1 tahun untuk menjatuhkan Anwar, maka tempoh 2 tahun ini adalah lebih dari mencukupi. Tabiat Mahathir yang gemar memberikan jawatan kepada orang orang yang tidak berintegriti agar mudah dikawal olehnya akan dimanfaatkan sepanjang masa beliau menjadi Perdana Menteri ini. Antaranya adalah jawatan menteri yang akan dipertanggungjawabkan atas pembelian aset aset sensitif negara, yang mana butir butir lengkapnya tidak boleh dihebahkan kepada umum kerana boleh menjejaskan rahsia kekuatan dan kedaulatan negara. Selain itu Mahathir melantik individu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah, yang memerlukan campur tangannya untuk melepaskan dirinya dari pertuduhan tersebut adalah juga untuk tujuan yang sama. Kelak ramai lagi yang akan menjadi bidak bagi percaturan Mahathir setelah dikurniakan dengan jawatan dan kedudukan, biarpun mereka bukan dari parti pimpinan Mahathir sendiri.

Mahathir akan tetap menyerahkan jawatan Perdana Menteri itu kepada Anwar kelak sama ada sebelum atau selepas tempoh 2 tahun, bila mana Mahathir saat itu tidak lagi perlu kepada jawatan tersebut. Saat itu Mahathir akan mengetuai Council of Elders yang dibuat olehnya itu, yang akan menjadi lebih berkuasa dari Anwar selaku Perdana Menteri. Tika itu Mahathir merupakan De Facto Perdana Menteri. Bidak bidak catur Mahathir akan bersedia untuk langkah penghabisan, memerangkap Anwar dalam percaturan kuasa antara mereka berdua untuk kesekian kalinya. Itulah yang diinginkan selama ini oleh Mahathir setelah melihat kedua dua Perdana Menteri yang menggantikannya telah tidak menurut segala kehendaknya.

Jawatan Mahathir selaku ketua Council of Elders itu adalah lebih kukuh berbanding jawatan Perdana Menteri yang bakal disandang oleh Anwar. Ini kerana pada bila bila masa sahaja Mahathir boleh melucutkan Anwar dari jawatan Perdana Menteri dengan mengusulkan undi tidak percaya oleh ahli ahli Parlimen. Itulah langkah terakhir percaturan Mahathir. Ia bukanlah satu perkara yang sukar buat Mahathir. Dengan BN memiliki 79 kerusi, PPBM sendiri 12 kerusi, Mahathir yang telah lama meletakkan orang orangnya di dalam parti parti lain yang memegang sebilangan kerusi hanya memerlukan beberapa kerusi sahaja lagi untuk menjayakan undi tidak percaya terhadap Anwar selaku Perdana Menteri. Tambahan pula Mahathir telah mempunyai pengalaman mengalahkan lawannya dalam perebutan kuasa walaupun lawannya itu memiliki sokongan yang lebih banyak berbanding dirinya, sepertimana yang dilakukan terhadap Tengku Razaleigh pada tahun 1987. Inilah yang akan menjadi 'bargaining chip' oleh Mahathir untuk memastikan Anwar selaku Perdana Menteri akan menurut kehendak kehendaknya. Setelah itu sudah tentulah Mahathir akan memastikan jawatan Timbalan Perdana Menteri setelah Anwar menjadi Perdana Menteri akan diserahkan kepada seseorang yang dipilih olehnya. Wan Azizah, jika tidak melepaskan kerusi Parlimennya untuk Anwar, tidak akan diberikan jawatan tersebut dengan alasan adalah janggal apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia adalah isteri kepada Perdana Menteri sendiri. Jawatan itu juga tidak mungkin akan diberikan kepada PKR.

Melihat perkembangan saat ini, jangkaan ini bukanlah suatu yang mustahil. Percaturan Mahathir setakat ini berhasil apabila pimpinan PKR sendiri kelihatan cuba menjauhkan diri dari kenyataan yang dibuat oleh Rafizi Ramli, mempertikaikan perlantikan tiga orang menteri oleh Mahathir tanpa berbincang dengan PKR. Azmin Ali dengan pantas menyatakan bahawa itu hanyalah pendapat peribadi Rafizi, malah Anwar Ibrahim sendiri hari ini mengulangi sokongannya terhadap kepimpinan Mahathir selaku Perdana Menteri, yang menurut Zainuddin Maidin dibuat kerana khuatir Mahathir meragui kesetiannya dan sikap tidak sabarnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Maka sekiranya segala percaturan ini berjaya, kita akan dapat menyaksikan bagaimana Mahathir akhirnya dapat mengawal Perdana Menteri yang bakal menggantikannya. Setelah itu tiada apa yang akan dapat menyekat amalan korupsi, kronisme, nepotisme, dan kuku besi yang selama ini mencorakkan warna pemerintahan Mahathir. Hanya yang dapat diharapkan untuk menyeimbangi pergelutan antara Mahathir dan Anwar itu kelak ialah PAS yang memiliki 18 kerusi Parlimen. Di sinilah PAS mampu bertindak selaku 'game changer' dalam perlawanan antara Mahathir dan Anwar. PAS harus sentiasa istiqamah dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai matlamat utama dalam memintas gerak percaturan Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. PAS harus peka terhadap gerak percaturan Mahathir kali ini. Sesungguhnya Mahathir sangat cekap mengatur langkahnya tatkala musuh musuhnya lalai dan leka. Janganlah kemenangan yang dikecapi membuatkan PAS terpica dari membaca gerak langkah Mahathir.

Maka itu berwaspadalah kita sentiasa, jangan mudah terpedaya dengan pertunjukan silap mata ahli ahli politik. Ingatlah pesan orang tua tua;

Helang pungguk helang berikan,
Tidur siang berjaga malam,
Sungguh unjuk tidak berikan,
Pepat di luar rencong di dalam.

Faiq Khalifa

......
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
https://telegram.me/mindarakyat
https://www.facebook.com/Mindarakyat

1 ulasan:

  1. Tak ramai dari gen y yang sedar bahawa dua pemain senior ini pernah bermain dalam pasukan yang sama iaitu MNO United. Perebutan posisi kapten pasukan yang melibatkan dua pemain itu akhirnya menyaksikan salah seorang berpindah ke pasukan baru iaitu Oppo United. Kini sejarah berulang, meskipun Oppo United kini dah jadi juara namun ia adalah kemenangan yang tipis. Ini membuka laluan perebutan posisi kapten pasukan terbuka seperti di masa lalu.

    BalasPadam